Nov 29, 2024 - FASPerlawanan kelima saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACLTWO) 2024/25 semalam berakhir dengan keputusan 1-2 di antara Selangor FC dan Muangthong United FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.
Secara keseluruhan, statistik perlawanan menunjukkan Selangor FC menguasai bola sebanyak 51%, dengan 25 percubaan dan 4 sepakan penjuru. Selangor FC terdahulu menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-5, selepas Quentin Cheng menendang masuk bola yang terbias dari kaki pemain lawan terus ke dalam gawang, menambah semangat skuad Merah Kuning ketika itu. Namun, separuh masa kedua, Muangthong United FC berjaya menjaringkan dua gol pada minit ke-53 dan 76 perlawanan sebelum wisel penamat ditiup.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, minta maaf kepada para penyokong kerana tidak dapat meraih tiga mata.
"Pada separuh masa pertama, pasukan benar-benar bersedia untuk permainan seperti itu tetapi pada separuh masa kedua, kita mempunyai banyak peluang dan sepatutnya mendapat gol kedua namun ianya tidak berlaku. Sekurang-kurangnya kami dapat tunjukan corak permainan yang kami inginkan. Walau bagaimanapun, saya ingin memohon maaf kepada penyokong kerana kami tidak dapat meraih 3 mata, kami akan cuba yang terbaik untuk dapatkannya dalam perlawanan seterusnya dan saya percaya para pemain mampu lakukannya,” katanya.
Jeonbuk Hyundai Motors FC mendahului Kumpulan H dengan dua belas mata, diikuti Muangthong United F.C. di tempat kedua dengan lapan mata, kemudian Selangor FC dengan tujuh mata dan Dynamic Herb Cebu F.C. di tempat keempat dengan satu mata.
Selangor FC juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada 7,182 penyokong yang telah hadir ke Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.
Untuk pengetahuan, Selangor FC masih berbaki satu perlawanan untuk minggu ini iaitu perlawanan kedua saingan Unifi Piala Malaysia Round 16 menentang Sri Pahang FC di Stadium MBPJ pada 1 Disember ini jam 8:30 malam.
Sebarang makluman lanjut, boleh dapatkan di laman rasmi dan sosial Selangor FC.
Demi Kebanggaan!